Kehidupan Hasan Al Basri - KENANGAN
Headlines News :


Home » » Kehidupan Hasan Al Basri

Kehidupan Hasan Al Basri

Written By ADMIN on 04 August 2008 | 7:09 AM

Al-Hasan bin Yasar (lebih dikenali selepas ini sebagai al Hasan al Basri) membesar di salah sebuah rumah RasuluLlah s.a.w dan dididik di rumah salah seorang isteri Nabi s.a.w , Hindun binti Suhail atau dikenali sebagai Ummu Salamah.

Jika anda belum kenal, Ummu Salah adalah seorang wanita Arab yang sangat cerdik. Seorang yang sangat dihormati dan tinggi semangatnya. Ummu Salamah adalah seorang isteri Nabi s.a.w yang sangat berilmu. Beliau merupakan isteri Nabi s.a.w yang paling banyak meriwayatkan hadith daripada Baginda. Beliau meriwayatkan sehingga 387 buah hadith. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang daripada segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf di zaman jahiliyyah.

Namun demikian hubungan anak kecil yang bertuah ini dengan Ummu Mukminin, Ummu Salah tidak berhenti setakat itu sahaja. Malah hubungan mereka menjangkau lebih daripada itu. Khairah, ibu al Hasan ini selalu keluar rumah kerana melakukan kerja-kerja untuk Ummu Mukminin. Jadi apabila anak kecil ini menangis kelaparan, Ummu Salah akan membawa anak kecil ini ke biliknya. Beliau akan menyusukannya sendiri untuk menenangkan anak ini sepanjang ketiadaan ibunya.

Dengan ini, Ummu Salah menjadi ibu kepada Al Hasan kerana dua sebab. Pertama kerana beliau adalah Ummu Mukminin. Kedua kerana beliau adalah ibu susuannya.

***

Hubungan yang begitu erat dengan kesemua Ummu Mukminin selain kedudukan rumah-rumah mereka yang berdekatan membolehkan anak kecil yang bertuah ini sering mengunjungi rumah-rumah ini. Malah anak kecil ini juga berpeluang mencontohi akhlaq dan menerima bimbingan mereka.

Al Hasan sendiri pernah menceritakan bahawa rumah-rumah Ummu Mukminin menjadi tempat beliau bermain. Menurutnya, apabila beliau melompat, tangannya boleh mencecah atap rumah Ummu Mukminin.

***

Al Hasan membesar dalam suasana yang penuh dengan haruman dan sinaran nubuwwah. Beliau berpeluang menikmati keindahan yang mewarnai rumah-rumah Ummu Mukminin ini.

Selain itu, Al Hasan juga turut berpeluang menerima didikan para sahabat agung di masjid RasuluLLah s.a.w. Beliau berkesempatan menerima hadith daripada Othman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Abu Musa al As'ari, Abdullah bin Umar, AbduLlah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin AbduLLah dan ramai lagi.

Al Hasan begitu tertarik dengan Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib r.a. Beliau dapat melihat kekuatan pegangan Ali kepada agamanya. Beliau tertarik dengan kesempurnaan ibadat dan kezuhudannya menjauhi segala kesenangan dunia. Beliau turut tertarik dengan kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajarnya yang mampu menyentuh hati manusia. Oleh kerana itu, al Hasan cuba mencontohi segala akhlaq, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abu Talib. Beliau juga turut mencontohi kepetahan dan kefasihan Ali bin Abu Talib.

Apabila al Hasan berusia 14 tahun dan semakin dewasa beliau mengikut ayahnya berpindah ke Basrah. Beliau menetap di sana bersama keluarganya. Di sinilah al Hasan mula dikaitkan dengan Basrah dan di kenali sebagai al Hasan al Basri.
Share this article :

0 comments:

Top 10 Members

Recent Visitors

Total Pageviews

 
Support : Creating Website | KENANGAN | KENANGAN
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2015. KENANGAN - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by KENANGAN