Memperingati Hari Kelahiran Nabi s.a.w. Membawa Cinta dan Kasih Kepada baginda. - KENANGAN
Headlines News :


Home » » Memperingati Hari Kelahiran Nabi s.a.w. Membawa Cinta dan Kasih Kepada baginda.

Memperingati Hari Kelahiran Nabi s.a.w. Membawa Cinta dan Kasih Kepada baginda.

Written By ADMIN on 27 February 2010 | 7:49 AM

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji dan puja kita rafaakkan kepada Allah s.w.t. yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar tercinta Nabi Muhammad s.a.w. penutup sekalian para Nabi dan Rasul, penunjuk jalan al-haq dan daie sepanjang jalan.

Setiap 12Rabiul Awal kita menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w. Keputeraan Rasulullah dan pengutusan baginda kepada kita merupakan satu nikmat kubra buat umat sejagat. Ini kerana kelahiran baginda memberikan petanda risalah dan penyelamat umat dari dibelenggu arus jahiliyah dan kekufuran.

Kedatangan dan pengutusan baginda membawa agama Islam ini merupakan satu nikmat agung kepada umat Islam. Ini kerana dengan agama Islam mereka terselamat daripada menjalani kehidupan dalam alam kekufuran dan kejahilan, seperti menyembah berhala, roh nenek moyang dan sebagainya. Islam menyelamatkan kita dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diterima akal yang sejahtera itu. Alangkah beruntungnya kita dengan nikmat Islam ini, sehinggakan jika tiada nikmat di atas dunia ini selain Islam, maka yang demikian itu pun sudah mencukupi melayakkan umat Islam berada di atas memimpin bangsa-bangsa lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran Nabi s.a.w., namun harus kita bertanya kepada benak fikiran kita sejauh mana kita telah mencontohi dan mengimplimentasi pusaka peninggalan baginda s.a.w.di dalam kehidupan kita. Saban tahun juga bermakna Rasulullah s.a.w. semakin jauh dari kita., namun spirit dan ruh perjuangan baginda tetap membara dalam sanubari kita.

Marilah kita menggali semula mutiara keindahan hidup baginda s.a.w. Mari kita susuri dan teladani qudwah dakwah dan perjuangan baginda bagi kita memacu semula gerakan pencerahan dan pembangunan semula satu nahdah (peradaban). Biarpun jasad baginda jauh beribu-ribu batu, namun jiwa,perjuangan baginda tetap mekar dan dekat di hati kita.

Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.

Marilah sama-sama kita kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa aqidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya.

Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.Teruskanlah dan amalkanlah sunnah Nabi s.a.w. dalam kehidupan kita, tanda kita cinta dan kasih kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. Tujuh amalan sunnah Nabi s.a.w. yang tidak pernah baginda tinggalkan iaitu solat malam, solat berjemaah, membaca al-Qur'an, solat duha, beristighfar, berwudhu' dan bersedekah.

Sahabat yang dihormati,
Akhir sekali renungilah perumpamaan berikut, yang diberikan oleh Allah s.a.w. kepada generasi para sahabat, menggambarkan kedudukan yang mereka capai pada masa itu di hadapan kaum-kaum yang bukan Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya.

Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Fath: 29)
Share this article :

0 comments:

Top 10 Members

Recent Visitors

Total Pageviews

 
Support : Creating Website | KENANGAN | KENANGAN
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2015. KENANGAN - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by KENANGAN